Sejarah pembentukan Fakulti Pengajian Alam Sekitar bermula dengan penubuhan Jabatan Sains Alam Sekitar pada Ogos 1976, di bawah Fakulti Sains. Dengan tertubuhnya Jabatan Sains Alam Sekitar ini, Fakulti Sains telah diberi nama baharu, iaitu Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar. Pada ketika itu, Jabatan Sains Alam Sekitar di bawah Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar ini bertanggungjawab untuk menawarkan program ijazah sarjana muda Bacelor Sains Alam Sekitar, yang diperkenalkan pada tahun yang sama jabatan ini terbentuk. Program ijazah ini merupakan program ijazah alam sekitar pertama di Asia Tenggara, dan ianya telah diiktiraf sebagai ijazah profesional oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.
Namun begitu, pada 1 September 2004, pihak pengurusan UPM telah bersepakat untuk membenarkan Jabatan Sains Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar, untuk bergerak sendiri sebagai satu fakulti baharu, iaitu Fakulti Pengajian Alam Sekitar. Dengan keluarnya Jabatan Sains Alam Sekitar dari Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar telah kembali dinamakan sebagai Fakulti Sains.
Fakulti Pengajian Alam Sekitar merupakan satu-satunya badan akademik di Malaysia yang menawarkan ijazah di peringkat sarjana muda, sarjana, dan doktor falsafah dalam bidang alam sekitar. Tenaga pengajar dan penyelidik di FPAS merupakan pakar dari pelbagai bidang, sesuai dengan tuntutan pengajaran, pembelajaran, dan penyelidikan alam sekitar yang memerlukan kemahiran, kebolehan, dan ilmu pengetahuan dari pelbagai segi. Oleh sebab itu, Fakulti Pengajian Alam Sekitar telah menubuhkan dua buah jabatan untuk pengurusan yang lebih efektif, iaitu Jabatan Sains Alam Sekitar dan Jabatan Pengurusan Alam Sekitar.
Sebagai sebuah fakulti yang komited dengan pengajian berkaitan alam sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar banyak bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk projek-projek penyelidikan di dalam dan di luar UPM. Antara organisasi-organisasi lain yang bekerjasama dalam projek penyelidikan dengan pihak fakulti ialah Jabatan Alam Sekitar Malaysia dan Ministry of Environment Japan.

Kemaskini:: 06/06/2017 [wanlutfi]

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan