Jabatan Sains Alam Sekitar

 
 

LATAR BELAKANG

Jabatan Sains Alam Sekitar menawarkan program Bachelor Sains (Alam Sekitar) semenjak ianya ditubuhkan pada tahun 1976. Ijazah ini diiktiraf oleh Jabatan PerkkhidmatanAwam sebagai kelayakan profesional. Objektif program ini adalah untuk membentuk graduan yang mampu berfikir dan bertindak secara sistematik dan menyeluruh bagi mengatasi masalah berkaitan alam sekitar.

Program Bachelor Sains (Alam Sekitar) merupakan satu program pelbagai disiplin yang melibatkan komponen sains asas, ekonomi, sains kemasyarakatan, perancangan dan pengurusan, teknologi dan kejuruteraan. Latihan profesional amat dititik beratkan dalam program ini di mana pelajar ditempatkan di pelbagai agensi awam dan swasta bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman menyelesaikan masalah secara lebih praktik dalam keadaan sebenar.

Pada awalnya, program ini ditawarkan bagi memenuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling (1974) berserta undang-undang kecil berkaitan dimana, graduan program ini kebanyakannya diserapkan sebagai Pegawai Kawalan Alam Sekitar di Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Disamping itu, graduan program ini juga layak dan sesuai untuk menjadi Pegawai Sains Alam Sekitar, Pegawai Penyelidik di jabatan kerajaan, badan berkanun dan swaata seperti MACRES, FRIM, Kerajaan Tempatan, SIRIM, ASMA, ESSO, Petronas, Shell, syarikat bekalan air, pakar runding alam sekitar dan sebagainya. Graduan program ini juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Master dan PhD, sama ada di dalam atau luar negara. Selain daripada itu, graduan program ini boleh berkhidmat sebagai guru yang berkelayakan sekiranya mereka mengikuti program latihan perguruan yang diiktiraf (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah).

Pegawai Akademik Jabatan ini mempunyai latar belakang dalam bidang pengkhususan yang berkaitan dengan sains, teknologi dan kejuruteraan alam sekitar. Di antara aktiviti penyelidikan dan kerja perundinagn yang dijalankan termasuk pengolahan sisa buangan, proses rawatan air dan air sisa, kualiti air laut, pengelasan sungai, kualiti udara dan kebisingan, pengurusan perlembagaan, piawaian alam sekitar, aplikasi GIS dan penginderaan jauh, kesihatan alam sekitar dan pemodelan alam sekitar.

Jabatan juga telah dilengkapi dengan peralatan pengajaran dan penyelidikan terkini dalam bidang alam sekitar seperti GCMS, spektrofotometer serapan atom, penganalisis ion, jumlah karbon organik, analisa gas pencemar, prob pelbagai parameter kualiti air, pengukur tahap kebisingan, stesen kaji cuaca mudah alih, model kitaran hidrologi dan lain-lain lagi. Gabungan kepakaran kakitangan Jabatan dengan kemudahan yang ada memberi peluang kepada pelajar Bachelor dan Siswazah Lanjutan untuk menimba pengalaman dalam bidang alam sekitar secara praktikal.

Justeru itu juga, dengan kepakaran dan kemudahan yang ada di Jabatan, agensi luar sama ada kerajaan atau swasta sentiasa mendapat khidmat kepakaran Jabatan dalam bidang alam sekitar dari segi pembiayaan program penyelidikan dan khidmat perundingan.